Jumat, Agustus 01, 2008

Menanti Keajaiban-Mu

TETAPKAN HAMBA DIJALAN-MU YA ALLAH

Ya Allah.. Tsabbit qulubana ‘ala deenik… (Ya Allah, tetapkan kami di atas JalanMu)

Syukur alhamdulillah, kerana pada pagi ini, hatiku masih meyakini jalan yang kupilih, jalan yang telah Allah tetapkan ke atas ku, jalan yang benar, insyabAllah.. Jalan yang beralamatkan menuju redha dan SyurgaNya. Syukur alhamdulillah, aku masih mengecapi nikmat Islam dan Iman. Alhamdulillah..

Iman itu sendiri perlu digilap setiap ketika, supaya dapat ia dididik untuk hidup semata-mata kerana akhirat. Jika ada secebis perasaan keduniaan pun, hanyalah semata-mata sebagai keseinambungan ke akhirat. Dunia hanyalah alat untuk memudahkan kita ke kampung akhirat.

Hidayah pula dikurniakan Allah pada hamba-hamba terpilih yang bertuah. Perasaanku dan kobaranku terhadap Islam tika ini, kuharapkan kerana hidayah dariNya. Sayangku terhadap jalan Islam dan amal Islami tika ini, kuharapkan atas kurniaan hidayah dariNya. Hidayah dari Allah itu sifatnya tidak kekal. Allah berkuasa dan berkehendak untuk menariknya semula jika kita tidak berusaha untuk mengekalkan nikmat hidayah yang telah sedia ada pada kita. Kurniaan hidayah daripada Allah bukanlah satu kurniaan yang boleh dipandang enteng, kerana berbekalkan hidayah dariNyalah, kita mampu bergerak pulang di atas jalan yang betul ke kampung akhirat. Justeru, kepentingan hidayah tidak dapat disangkal lagi memandangkan apakah matlamat terbesar diri ini sebagai hamba Allah, melainkan terus-menerus menyembahNya, kekal di atas jalanNya, dan bermatlamatkan redhaNya dan SyurgaNya? Moga hati ini terus kekal menggilap hidayah dariNya.

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu) dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain)” Surah Fussilat [41:6]

Tetap teguh dalam melakukan sesuatu atau istiqamah dalam dakwah merupakan satu jalan usaha untuk mengharapkan pengekalan hidayah yang berterusan dari Allah. Istilah “dakwah” sudah mula dipandang serong dan ditakuti kebanyakan kelompok masyarakat umum. Sedangkan “dakwah” itu adalah kewajipan setiap individu yang bergelar muslim. “Da’a” bermaksud mengajak. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua yang telah ditakdirkan Allah untuk menjadi khalifahNya untuk mengajak seluruh makhluk pulang kepada fitrah, pulang kepada kewajiban dan tuntutan Allah untuk menyembahNya setiap masa, selama-lamanya. Tanggungjawab sebagai da’ie tidak sewajarnya ditangguhkan hanya kerana kita merasakan diri kita tidak cukup layak, tidak cukup baik, tidak cukup ilmu, tidak pandai menulis, tidak pandai bercakap dan sebagainya. Atau, mungkin kita juga kadang kala akan merasakan betapa hinanya diri ini berbanding da’ie-da’ie lain yang lebih hebat bicara mereka, lebih mantap amalan mereka malah lebih segala-galanya. Kita semua adalah da’ie. Biarpun sepotong ayat yang kita tahu, kita bertanggungjawab untuk menyampaikan pada semua. mengapa perlu kita pedulikan kehebatan orang lain, sehinggakan terputus usaha kita atas usaha pada jalanNya? Kekalahan apakah yang lebih hebat berbanding, kegagalan kita daripada dipilih menjadi golongan beriman yang bakal memasuki SyurgaNya? Sampai bila kita ingin menanti rasa “cukup bersedia” atau “cukup kuat” untuk menjalankan tugas kita yang bakal membawa kita ke Syurga? Jangan sampai tiba hari dan ketika, di mana kita terkedu melihat orang-orang lain berbondong-bondong memasuki syurga, sedang kita termanggu sendiri menyesal tak sudah akan kelewatan tindakan kita ketika di dunia.. Na’uzubillah. Biarkan kekuatan itu datang menyaluri setiap genap urat tubuh, dan sesungguhnya, kekuatan itu bukanlah datang dari masa, bukanlah menantikan berapa lama kita berkecimpung dalam medan menuntut ilmu Islam, tetapi, kekuatan itu datang dari kita. Kekuatan itu datang dari keyakinan dan keazaaman kita untuk terus-terus di atas jalanNya, biarpun kita tahu, keizinan kekuatan itu datang dari Allah jua. Cemburukan diri dalam melihat para da’ie lain yang bersungguh-sungguh bekerja untuk Islam. Bukan “cemburu” yang menyebabkan kita terdiam, terduduk, terkeliru, atau pun tersakit hati, tetapi cemburu yang dapat menguatkan lagi jalan kita menujuNya, cemburu yang dapat menguatkan usaha kita, cemburu yang dapat menggilap keazaman kita, supaya terus kekal di atas jalanNya.

Dakwah itu banyak cabangnya. Setiap yang menjadi khalifah pasti ada kelebihan. Dakwah Islamiyah mampu disampaikan walau dengan senyuman, walau dengan keceriaan, walau dengan pakaian Islami, walau dengan kata-kata hikmah, walau dengan madah, walau dengan ukhuwah fillah. Tak perlu menanti pandai berbasa-basi, tak perlu menanti bahasa bertukar indah, untuk meneruskan kewajipan kita, serahkan apa yang ada pada kita atas jalanNya, nescaya hak kita akan dipermudahkan olehNya. InsyaAllah.. Kepincangan pasti ada dalam dakwah, kerana yang telah dipilih menjadi khalifah adalah ‘manusia’, bukan malaikat yang bersih dari dosa. Perbetulkan apa yang termampu.. Apa saja! asalkan kita dapat mengejar redha dan SyurgaNya. Amin…

Kerana kita takkan biarkan mereka sahaja menghuni Syurga. Kita juga bakal menjadi penghuniNya.

Betapa hebatnya kuasa Allah, yang menjadikan manusia dengan sifat yang begitu kompleks, lengkap yang akhirnya menjadikan manusia sebagai makhluk yang cukup bekalan kejadian untuk ditaklifkan menjadi khalifahNya di muka bumi. Manusia itu diciptakan dengan akal dan nafsu. Justeru, Allah kurniakan Al-Quran dan para nabi sebagai penunjuk jalan menujuNya, untuk mengejar iman supaya dapat digandingkan dengan akal yang telah Allah kurniakan pada manusia. Jika diandaikan, akal dan iman disatukan lalu dilawankan dengan hawa nafsu, neraca gabungan akal dan iman itu perlu sentiasa diberatkan berbanding dengan hawa dan nafsu. Itulah bekalan da’ie yang Allah kurniakan pada kita. Fitrah manusia untuk merasa sedih, tetapi bukanlah da’ie yang baik jika kesedihan itu membawa kemusnahan pada dakwah, pada masyarakat, ataupun pada diri sendiri. Fitrah manusia untuk berasa kecewa, tetapi bukanlah kekecewaan itu untuk memusnahkan matlamat kita yang sangat besar, akhirat dan SyurgaNya. Fitrah manusia untuk merasai nafsu cinta, tetapi bukanlah cinta itu untuk membawa kita ke jalan murkaNya. Allah mengurniakan akal dan iman untuk diberatkan berbanding hawa dan nafsu yang dikurniakanNya. Maka, terserahlah pada diri ini untuk memilih. “All or nothing”. Tiada jalan tengah. Keseluruhan RedhaNya, atau tiada langsung RedhaNya. Keseluruhan MurkaNya, atau tiada langsung MurkaNya. Keseluruhan Syurga, ataupun keseluruhan Neraka?

Bawakan aku ke SyurgaMu, Ya Allah.

Memetik semula ayat suci Al-Quran yang diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad sebagai panduan manusia sepanjang zaman:

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu) dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain)” Surah Fussilat [41:6]

Dapat dilihat betapa pentingnya kita tetap teguh atas jalan kita, sehinggakan Allah mengisikannya dalam ruang kalam suci al-Quran. Biar apa pun yang berlaku, matlamat untuk terus berada di atas jalanNya perlu terus tetap, teguh dalam diri. Matlamat aqidah dan SyurgaNya takkan pernah pincang, biar bumi bergoncang hebat, biar manusia mengecam dan membenci kita. Kerana kita ingin ke Syurga.

Wahai diri, jangan biarkan kafilah menuju Syurga itu meninggalkanmu. Biarpun kau rasakan kudamu terhincut-hincut di belakang, tetapi teruskan azam untuk memecut mengejar matlamat Agung.. Syurga Allah.

Tsabbit qulubana ‘ala deenik Ya Allah…

-Catatan hati hamba Allah yang hina-
Mohon petunjuk dariNya,
Wallahu’alam



1 komentar:

komentar positif dan membangun di harapkan